

Ejen perkhidmatan pelanggan Zamri Ahmed, 26, berkata, kehadiran pekerja Muslim di kedai makan mampu meyakinkannya bahawa makanan disediakan mematuhi syarat ditetapkan Islam.
“Sebenarnya ramai tidak menyedari bahawa proses mendapatkan pensijilan halal tidak semestinya jelas dan mudah. Jadi, asalkan makanan disediakan mematuhi amalan halal ia sudah cukup memadai untuk saya,” katanya.

Hanis Suhaimi, 30, yang turut senada dalam pendapatnya berkata, walaupun tidak dinafikan sijil halal akan menghapuskan sebarang was-was, beliau akan yakin sekiranya melihat kakitangan Muslim bekerja di sesebuah restoran bahawa tiada masalah untuknya makan apa dihidangkan di situ.
“Jika restoran itu juga boleh menunjukkan makanan mereka diperoleh dari sumber halal, saya tiada masalah untuk makan di situ. Mereka patut memaklumkan pelanggan mengenai perkara itu,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Agama Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan sijil halal bagi restoran dan pengendali makanan yang tidak menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.
Pengumuman itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam sama ada makanan dihidangkan di premis yang tiada sijil halal selamat dimakan oleh pengunjung beragama Islam.
Komited patuhi piawaian halal
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata secara umumnya, semua makanan khususnya yang disediakan orang Islam, dianggap halal asalkan tiada bukti menunjukkan sebaliknya.

“Pada dasarnya, bergantung kepada sama ada pelanggan rasa yakin selepas membuat pertanyaan sendiri,” kata Mohd Hanif, eksekutif halal di restoran Cina popular, Dolly Dim Sum.
Beliau berkata, restoran itu komited sepenuhnya untuk memastikan semua makanan ditawarkan di premis-premisnya mematuhi piawaian halal.
“Kami telah mewujudkan jawatankuasa halal untuk memastikan pematuhan ini,” katanya dengan menambah beliau sendiri memantau semua perolehan, penyediaan makanan, serta pelayanan.
Katanya, Dolly Dim Sum mewajibkan semua pembekal memiliki sijil halal, malah restoran itu sendiri turut patuh sepenuhnya dengan semua protokol pengendalian makanan serta kebersihan.
“Semua pekerja juga menjalani latihan penuh berkait pengendalian makanan dan kesedaran halal, yang membekalkan mereka dengan pemahaman mendalam mengenai perkara halal haram,” katanya.
Menurutnya hampir hampir 300 daripada 460 kakitangan Dolly Dim Sum beragama Islam.

Hanif berkata, dapur berpusat Dolly Dim Sum memiliki sijil halal, dan rantaian restoran itu sedang berusaha mendapatkan sijil halal penuh bagi kesemua 13 restorannya, malah proses berkenaan sudah dimulakan serta dijangka selesai dalam tempoh beberapa bulan akan datang
Sementara itu, pekerja pejabat Ahmad Syafiq, 32, dan Nurul Nabihah, 31, masing-masing tiada rasa ragu-ragu untuk makan di sebuah restoran yang sedang dalam proses mendapatkan sijil halal.

“Saya memang selesa makan di restoran yang dalam proses memperolehi sijil halal,” kata Nurul.
Mematuhi amalan halal
Hanif mengakui wujud salah faham dalam kalangan awam apabila ramai yang mengandaikan makanan dihidangkan di restoran yang tidak mempunyai pensijilan Jakim sebagai tidak halal. Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak semestinya betul.

Siti Ummir, cef di dapur berpusat Dolly Dim Sum berkata pasukannya sentiasa membuat pemeriksaan untuk memastikan semua bahan mentah digunakan dalam penyediaan makanan datang dari sumber halal serta disimpan dengan betul.
Mereka turut mengawasi tarikh luput dan memastikan dapur sentiasa bersih bagi memastikan makanan disediakan selamat dimakan serta mematuhi piawaian halal.
“Sebagai cef, saya percaya pelanggan boleh makan dengan tenang kerana dapur berpusat kami memang sudahpun mempunyai sijil halal,” katanya.

Seorang pelanggan tetap, Din Rahim berkata, beliau mengunjungi Dolly Dim Sum sekurang-kurangnya sebulan sekali, sama ada untuk makan bersama keluarganya atau bagi mengadakan pertemuan berkait perniagaan.
“Tidak banyak kedai makanan Cina di mana orang Islam boleh makan. Saya rasa yakin makan di sini, terutama memandangkan ramai pekerjanya beragama Islam,” katanya kepada FMT.