PRK Mahkota: Calon PN tak terkesan ramalan Annuar sebelahi BN

PRK Mahkota: Calon PN tak terkesan ramalan Annuar sebelahi BN

Haizan Jaafar berkata apa diperkatakan timbalan pengarah pilihan raya PAS itu tidak menjejaskannya kerana saingan masih terbuka.

Calon PN, Haizan Jaafar berkata pengalaman sebagai jurulatih pasukan bola sepak belia Cina dan India boleh membantu meraih undi masyarakat bukan Melayu di Kluang. (Gambar Bernama)
KLUANG:
Calon Perikatan Nasional (PN) PRK Mahkota enggan ‘ambil pusing’ kenyataan Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Annuar Musa bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang kawasan itu dengan majoriti lebih besar.

Haizan Jaafar berkata, persaingan masih terbuka dan sesiapa sahaja boleh membuat spekulasi atau ramalan tersendiri.

“Bagi saya, saingan masih terbuka. Sesiapa boleh kata apa sahaja yang mereka mahu sama ada BN akan menang dengan lebih 30,000 undi atau apa sahaja,” katanya kepada FMT.

Haizan, bekas pemain bola sepak Johor FA yang lebih dikenali ‘Coach Haizan’, berkata kenyataan dibuat Annuar ‘tidak memberi kesan kepadanya sama sekali’.

Minggu lalu, Annuar, yang dipecat Umno hampir dua tahun lepas, berkata BN berkemampuan menang dengan meraih 30,000 undi memandangkan gabungan itu menggerakkan jentera pilihan raya di pusat dan negeri bagi PRK Mahkota.

Beliau berkata demikian mengambil kira keputusan PRN sebelum ini bagi menyokong ramalannya.

Pada PRN Mac 2022, Sharifah Azizah Syed Zain dari BN menang majoriti 5,166 undi, mengatasi calon Pakatan Harapan, Taqiuddin Cheman dari Amanah, dalam pertembungan empat penjuru termasuk saingan daripada calon PN dan Warisan.

Sharifah meraih 16,611 undi, manakala Taqiuddin mengumpul 11,445 undi menjadikan keseluruhan 28,056 undi, mengatasi PN sekadar 7,614 undi.

Ditanya berkait peluang mendapat sokongan pengundi Cina dan India, Haizan berkata latar belakangnya dalam kejurulatihan berkemungkinan membantu menghubungkannya dengan komuniti berkenaan.

“Saya ada melatih pasukan bola sepak belia India Johor, dan saya juga ada melatih pasukan bola sepak belia Cina Kluang,” katanya ahli jawatankuasa Bersatu Kluang itu.

“Hubungan itu, saya percaya boleh membantu meraih undi daripada masyarakat India dan Cina.”

PRK Mahkota dijadual pada 28 Sept dengan undi awal pada 24 Sept. Calon BN diwakili Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah, mewakili kerajaan perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.