
Ini kerana cadangan itu masih di peringkat lontaran idea, tanpa jaminan ia akan dilaksanakan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na’im Mokhtar.
“Janganlah disebabkan cadangan yang belum lagi kita tahu sama ada jadi ke tak – yang kita akan ambil kira kemudian – tapi kita semua bergaduh antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Michael, Bukit Puchong.
“Kajian pun belum diadakan. Baru cadangan ke arah kajian… baru lontaran idea yang bukan berbentuk keputusan dasar,” katanya.
Na’im turut mengingatkan bahawa perbahasan isu ini tidak boleh sehingga menjejaskan perpaduan.
“Saya seru kita kembali lihat kepentingan dan keutamaan kita – nak membela perpaduan dalam kalangan kita,” katanya.
Menyentuh proses berkaitan, Na’im berkata kajian akan perlu melalui sesi libat urus bersama pemegang taruh termasuk di peringkat negeri kerana isu halal dalam bidang kuasa negeri, dan seterusnya ke Jemaah Menteri.
Na’im pada 5 Sept berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.
Cadangan itu mengecualikan restoran menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.
Dalam maklum balas, Naib Pengerusi DAP Teresa Kok berkata pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.
Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.
Kenyataan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.
Pada Rabu, media melaporkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu hasil kajian dan laporan lengkap berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal itu dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri.
Pada Khamis, Kok menyifatkan kontroversi berkait cadangan itu berlaku atas salah faham daripada pelbagai pihak, dan menyerahkan kepada Jakim untuk memberi penjelasan.