
Perkara itu didedahkan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Nasiruddin Mohd Ali, menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosialnya, pagi ini.
Nasiruddin berkata, perkara itu pernah dibincang selain mengakui GISBH memang mempunyai kesalahan dari segi perundangan. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk kesalahan terbabit mahupun pihak yang mengadakan perbincangan bersama GISBH sebelum ini.
“Saya sangat sedih, saya orang Islam, tuan-tuan pun orang Islam. Pecah kita sesama Islam, kemudian anak-anak ditangkap sebagainya. Saya bukan mahu menyalahkan undang-undang, memang kami ada salah dari segi undang-undang tetapi tak boleh nasihat ke?
“Ini tangkap lebih 400 (kanak-kanak dan remaja mendiami rumah amal dikaitkan dengan GISBH)… anak-anak tak tahu cerita. Kemudian dituduh liwat dan sebagainya. Memang liwat itu ada satu, dua (kes), tetapi kenapa mahu dirangkumkan semuanya?” katanya, seperti dilaporkan Berita Harian.
Sementara itu, Nasarudin turut menafikan dakwaan GISBH menanamkan doktrin mengenai ajaran Islam yang menyeleweng terhadap kanak-kanak dan remaja yang mendiami rumah amal dikaitkan dengan organisasi itu.
“…kami tak menyakitkan orang lain dan sebagainya. Sedih sangatlah, cara hidup kami, ada yang kata doktrin. Doktrin ini adalah perbuatan yang mahu merosakkan kanak-kanak.
“Kami sudah buat 30 tahun dan buka (cawangan) di seluruh dunia, hampir 20 cawangan dan tiada masalah. Kami berhubung dengan duta dan tolong pihak kedutaan.
“Kami ajar budak solat, membesarkan ibadat solat berjemaah. Ini tuduh macam-macam, kenapa semudah itu dikeluarkan dalam media massa yang dilihat (masyarakat) pelbagai peringkat,” katanya.
Beliau berkata, GISBH akan melantik peguam bagi memulakan tindakan perundangan ke atas pihak yang didakwa melemparkan tohmahan terhadap organisasi itu.
“Barangan yang kita hasilkan halal dan dapat pensijilan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), sudah diimport ke Arab Saudi selain banyak kedai sudah ambil (untuk diniagakan), (sudah ada) pulangan balik (keuntungan),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan, dan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun dipercayai mangsa eksploitasi.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata rumah amal terbabit menggunakan sentimen agama dan kanak-kanak untuk menagih simpati serta sumbangan orang ramai.
Mangsa diselamatkan dalam serbuan bermula 6 hingga 11 pagi itu dikatakan diajar meliwat, diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain. Kenyataan itu diperoleh hasil siasatan terhadap mangsa.