
Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Farah Nini Dusuki, berkata pihaknya mahu polis memaklumkan hasil siasatan dan tindakan yang telah diambil terhadap 41 laporan dibuat ke atas GISBH sejak 2011 hingga 7 Sept lalu.
Katanya, Suhakam juga menggesa proses pengendalian mangsa kanak-kanak termasuk siasatan terhadap pemerolehan bukti jenayah terhadap pemangsa dilaksanakan mengikut prosedur sewajarnya yang bersifat mesra kanak-kanak.
“Selain itu, rawatan kaunseling dan psikologi terhadap mangsa kanak-kanak perlu dipastikan dapat membantu memulihkan trauma kanak-kanak dan membolehkan mereka membuka lembaran hidup yang baharu,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Suhakam juga mengesyorkan sistem penjagaan berdasarkan keluarga diguna pakai untuk semua pemangsa memandangkan penempatan di rumah kanak-kanak yang sesak, berisiko menambah trauma kanak-kanak.
“Kaunseling yang berterusan juga perlu diberikan kepada kanak-kanak ini bagi mengenalpasti sejauh mana impak penderaan yang berlaku memberi kesan terhadap mereka, dan mekanisme pemulihan sesuai dapat dijalankan ke atas kanak-kanak,” kata Farah.
Beliau turut menggesa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan agar hasil siasatan dapat dimanfaatkan sebagai panduan reformasi institusi dalam mewujudkan satu sistem perlindungan kanak-kanak yang lebih holistik.
Kelmarin, polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan dan berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun dipercayai mangsa eksploitasi.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata rumah amal terbabit menggunakan sentimen agama dan kanak-kanak untuk menagih simpati serta sumbangan orang ramai.
Mangsa diselamatkan dalam serbuan bermula 6 hingga 11 pagi itu dikatakan diajar meliwat, diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
Kenyataan itu diperoleh hasil siasatan terhadap mangsa.
Seramai 171 individu membabitkan penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal terbabit ditahan yang terdiri 66 lelaki dan 105 wanita.
Siasatan kes itu setakat ini menjurus kepada kesalahan bawah Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Kanun Keseksaan (574) dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.