Tak tanding PRK Mahkota, tapi Pejuang sokong PN, kata Mukhriz

Tak tanding PRK Mahkota, tapi Pejuang sokong PN, kata Mukhriz

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata parti itu berpegang teguh kepada prinsip akan bersama pihak selain Umno.

Mukhriz Mahathir
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata belum sesuai parti itu menawarkan diri bertanding pada PRK Mahkota.
PETALING JAYA:
Pejuang tidak akan bertanding pada PRK Mahkota, tetapi menyokong Perikatan Nasional (PN) yang belum menerima permohonannya menyertai gabungan itu.

Presidennya, Mukhriz Mahathir, berkata Pejuang berpegang teguh kepada prinsip akan bersama pihak selain Umno.

“Kita sudah bincangkan perkara ini secara dalaman dan kita rasakan belum sesuai untuk Pejuang menawarkan diri bertanding dalam PRK (Mahkota).

“Ada juga pihak lain yang minta tolong, jadi kita akan membuat keputusan. Secara umumnya, saya pernah katakan sebelum ini pun di mana ada Umno kami mesti ada, jadi di situ boleh agaklah siapa yang kita akan sokong,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media sempena perjumpaan ahli Pejuang di Kluang, Johor.

Beliau berkata, sudah lama Pejuang menggerakkan jenteranya melalui NGO Melayu di Kluang sebelum PRK Mahkota diadakan lagi.

“Di Johor, Barisan Nasional adalah kerajaan dan disokong juga Pakatan Harapan (PH), jadi nampaknya kita kena sokong PN. Bukan satu perkara kekok sebab sebelum ini kita bukan setakat menyokong PN, tetapi jentera kami membantu mereka.”

Media sebelum ini melaporkan Pejuang akan menggunakan pendekatan menubuhkan gabungan baharu sebagai pilihan bagi menyertai PN menjelang PRU16.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.