Minta rasuah daripada pekerja asing, 3 pegawai imigresen direman

Minta rasuah daripada pekerja asing, 3 pegawai imigresen direman

Sumber berkata, empat suspek itu dipercayai menerima rasuah RM50 sehingga RM300 daripada setiap pekerja asing ingin pulang ke negara asal melalui Program Repatriasi Migran.

Empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh untuk permohonan perintah reman oleh SPRM. (Gambar Bernama)
IPOH:
Mahkamah Majistret Ipoh mengeluarkan perintah reman terhadap tiga pegawai imigresen Perak dan seorang ejen pekerja asing kerana dipercayai meminta serta menerima rasuah melalui Program Repatriasi Migran (PRM) bermula Mac lalu hingga bulan ini.

Sumber SPRM memaklumkan perintah reman dua hari bermula hari ini terhadap semua suspek itu dikeluarkan Majistret Siti Nora Sharif, susulan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Ipoh pagi tadi mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut sumber itu, seorang wanita dan tiga lelaki berusia 30 hingga 50 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Perak pada 1.15 tengah hari hingga 7.15 malam semalam.

“Semua suspek dipercayai terlibat aktiviti meminta dan menerima rasuah antara RM50 sehingga RM300 daripada setiap pekerja asing ingin pulang ke negara asal secara sukarela melalui PRM.

“Wang tersebut sebagai balasan mempercepatkan kelulusan program itu dan dikatakan aktiviti berkenaan bermula Mac hingga September 2024,” menurut sumber SPRM.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Ahmad Sabri Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kes itu yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.