
Menterinya, Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membawa isu GISBH ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk memutuskan perkara berkaitan akidah.
“Jawatankuasa khas ini diletakkan bawah seliaan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menjalankan fungsi membantu memberikan sokongan data dan kajian kepada pihak berkuasa, termasuk Jawatankuasa Muzakarah MKI,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga akan membantu menyediakan rumah perlindungan serta memberikan kaunseling kepada kanak-kanak dan remaja diselamatkan dalam Op Global.
Menurutnya, Jakim diarah memberi kerjasama penuh untuk membantu polis dalam proses siasatan kes itu.
“Sekali lagi ingin dibuat penegasan bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan isu-isu berkaitan akidah umat Islam.”
Rabu lalu, 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun yang disyaki mangsa eksploitasi, diselamatkan dari 20 rumah amal di sekitar Selangor serta Negeri Sembilan menerusi Op Global.
Pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal terbabit.
Hari ini, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, 13 penghuni rumah amal itu disyaki diliwat berdasarkan saringan perubatan dan empat kertas siasatan dibuka terhadap empat lelaki disyaki melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
GISBH menafikan dakwaan penghuni rumah amal dikendalikannya menjadi mangsa liwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.
Ia menyifatkannya tuduhan berat untuk menimbulkan prasangka, fitnah serta berniat jahat, sekali gus mewujudkan persepsi negatif terhadapnya.