
Bapa kanak-kanak itu, yang hanya dikenali sebagai Ahmad berkata, beliau dimaklumkan melalui surat bertarikh 10 Nov bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan polis untuk membuka semula kes itu.
Pada 2021, polis mengklasifikasikan laporan awal kes itu sebagai NFA, namun menurut Ahmad, AGC mengarahkan siasatan dibuka semula selepas meneliti laporan perubatan mengenai kecederaan yang dialami kanak-kanak tersebut.
“Sudah lebih sembilan bulan berlalu dan saya masih tidak dimaklumkan mengenai perkembangan siasatan itu oleh pegawai penyiasat, walaupun saya ada bertanya,” katanya kepada FMT.
Ahmad berkata, anak perempuannya perlu menjalani empat pembedahan dan pankreas serta sebahagian duodenumnya terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan yang dialaminya ketika berusia tiga tahun.
Beliau mendakwa, bekas isterinya, seorang jururawat, memaklumkan kepada polis bahawa anaknya itu cedera selepas terhantuk sofa.
Doktor bagaimanapun percaya, kecederaan itu akibat penderaan fizikal kerana organ dalaman kanak-kanak itu rosak, katanya.
Ahmad berkata, dua hospital mengesahkan pendapat doktor itu dengan menyatakan, kanak-kanak itu mengalami kecederaan berimpak tinggi yang mungkin bukan berlaku secara tidak sengaja.
Laporan yang dikeluarkan oleh salah sebuah hospital menyatakan, kanak-kanak itu mengalami kecederaan ‘traumatic pancreaticoduodenal’, kecederaan dalaman yang disebabkan oleh hentakan berimpak tinggi.
Ahmad berkata, penemuan doktor dan dua hospital itu, yang terkandung dalam laporannya, menunjukkan penderaan fizikal.
FMT telah menghubungi pegawai penyiasat kes itu untuk mendapatkan komen.