
Penolong pegawai perubatan, Junior Justin, 34, dan Aemy Melanie Elon, 33, membuat pengakuan tidak bersalah selepas dituduh secara berasingan di hadapan Hakim Jason Juga di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu.
Turut dituduh, jururawat, Marvilta Michael Poudi, 35, Naliah Saliwat, 37, dan Azrina Abd Azis, lapor Borneo Post.
Kelima-lima tertuduh didakwa sama ada menggunakan dokumen palsu atau mengemukakan dokumen palsu atau disertakan butir matan palsu, atau kedua-duanya, di Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu, di Luyang, antara 2020 dan 2021.
Aemy berdepan 14 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM44,000, manakala Junior dikenakan sembilan pertuduhan kerana menghantar tuntutan palsu berjumlah RM35,000.
Dalam pada itu, Naliah, Marvilta, dan Azrina berdepan pertuduhan tuntutan palsu masing-masing RM29,000, RM24,000, dan RM9,700.
Kelima-lima tertuduh dibenarkan ikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin. Mahkamah menetapkan 10 Jan 2025 bagi sebutan semula.
Peguam Sylyester Kuan mewakili Marvilta dan Azrina, manakala tiga lagi tidak diwakili peguam.