Tunggu jawapan Hamzah, kata Takiyuddin berkait MoU peruntukan pembangkang

Tunggu jawapan Hamzah, kata Takiyuddin berkait MoU peruntukan pembangkang

Sumber mendakwa PN dilaporkan mahu menolak deraf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang kerana tidak berpuas hati dengan beberapa syarat.

hamzah fadillah
Mac lalu, wakil PN Hamzah Zainudin, Takiyuddin Hassan dan Ronald Kiandee berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berhubung peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang. (Gambar Facebook)
TEMERLOH:
Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin akan menjawab persoalan sama ada Perikatan Nasional (PN) akan menerima atau menolak deraf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang, kata Ketua Whipnya Takiyuddin Hassan.

Ditemui di tepian Muktamar Pemuda PAS, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata Hamzah dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu hari ini.

“Kena semak dengan kenyataan Hamzah.

“Ketua pembangkang akan keluarkan kenyataan, hari ini,” katanya yang juga setiausaha agung PAS.

Terdahulu, FMT memetik sumber melaporkan PN dilaporkan menolak deraf MoU peruntukan pembangkang kerana tidak berpuas hati atas ‘kecacatan’ kandungan dan beberapa syarat perlu dipatuhinya.

Sumber PN itu berkata keputusan sebulat suara menolak dokumen disediakan kerajaan itu berdasarkan perbincangan bersama semua Ahli Parlimen pembangkang, Isnin lalu.

Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor mengesahkan ada perbincangan wakil rakyat PN Isnin lalu, namun enggan mendedahkan keputusan komponen itu dibuat sebelum pengumuman rasmi pimpinan.

Sumber itu mendakwa pembangkang tidak berpuas hati dengan beberapa obligasi atau syarat perlu dipatuhinya terutama menjurus kepada agenda kesamarataan untuk semua kaum dan individu.

Dakwanya, satu daripada 13 syarat meminta PN mengisytiharkan prinsip semua rakyat mempunyai hak asasi dan kebebasan tanpa perbezaan bangsa, etnik atau agama mengikut Perlembagaan Persekutuan, selain hak perlindungan saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan.

Turut dipersoal ketiadaan penetapan jumlah peruntukan selain syarat yang didakwa mengehadkan ‘suara’ pembangkang membangkitkan sesebuah isu.

Pada 18 Apr lalu, Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bersetuju mempertimbangkan penyaluran peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang disusuli dengan penyerahan deraf kepada PN, bulan lalu.

Anwar pada 9 Jul lalu dilaporkan berkata isu agihan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tidak patut menjadi isu rumit diselesaikan kerana membabitkan syarat asas dan proses biasa dalam mana-mana rundingan serta amalan demokrasi.

Sewaktu pentadbiran Ismail Sabri Yaakob dari Ogos 2021 hingga November 2022, kerajaan menandatangi MoU dengan Pakatan Harapan (PH) selaku pembangkang ketika itu bagi mewujudkan kestabilan politik dan menyediakan peruntukan untuk semua Ahli Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.