Sultan Pahang kurnia darjah kebesaran, pingat kepada 27 penerima

Sultan Pahang kurnia darjah kebesaran, pingat kepada 27 penerima

Antara penerima termasuk Pengerusi Eksekutif FMT Media Sdn Bhd Nelson Fernandez yang dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP).

sultan abdullah
Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-65 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, Kuantan.(Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menyampaikan darjah kebesaran dan pingat kepada 27 penerima pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan ke-65 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Nelson Fernandez
Nelson Fernandez.

Antara penerima Pengerusi Eksekutif FMT Media Sdn Bhd Nelson Fernandez yang dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.

Pada istiadat itu, kakanda baginda Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Meriam Sultan Ahmad Shah menerima Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SSAS) yang membawa gelaran Dato’ Sri Setia.

Baginda juga mengurniakan Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri kepada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan; bekas ketua setiausaha Kementerian Kesihatan Harjeet Singh; bekas ketua pegawai eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) Baharin Din; dan Pengarah Urusan Southern Acids (M) Berhad Low Kok Thye.

Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera kepada Panglima Angkatan Bersama Leftenan Jeneral Tentera Udara Noor Mohamad Akmar Dom dan Panglima Operasi Udara Mohd Shahda Ismail.

Turut dikurniakan darjah kebesaran sama Presiden Tunku Abdul Rahman University Of Management and Technology (TAR UMT) Lee Sze Wei dan Pengarah Urusan Menara Network Sdn Bhd Ab Razif Asmuni.

Dalam pada itu, Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang turut membawa gelaran Dato’ dikurniakan kepada Panglima Bantuan Udara Tentera Udara Masro Kaliwon serta Asisten Ketua Staf Kejuruteraan Tentera Udara Hishammudin Abdul Rahman.

Penerima lain termasuk peguam Tengku Shaiful Aftar Shah Mustafa; Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim) Mohd Zaki Mat Amin; Pengerusi Yindi Group China Zhu Yilong; Timbalan Pengerusi Thailand Charoen Pokphand Group (China) Li Wenhai; dan Pengarah Urusan Asian Art Production Sdn Bhd Rozaidi Baharudin.

Individu lain dikurniakan DIMP adalah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Sapiah Mohd Nor; Adun Tanjung Lumpur Rosli Abdul Jabar; Adun Beserah Andansura Rabu; Setiausaha Politik Perdana Menteri Ahmad Farhan Fauzi serta Pengarah SPRM Perak Ahmad Sabri Mohamed.

Pegawai Daerah Raub Mohd Khuzaidi Harun; dan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) polis Fadil Marsus; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Ahmad Ziad Sulaiman; Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB Mohd Rashid Mohamad; serta bekas presiden Stella Maris International School Kuala Lumpur Tan Beng Cheok turut menerima darjah kebesaran sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.