Sekolah, madrasah N Sembilan terkait eksploitasi budak dipantau

Sekolah, madrasah N Sembilan terkait eksploitasi budak dipantau

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata institusi itu dikesan pihak berkuasa agama negeri susulan aduan.

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun berkata, tiga atau empat sekolah, madrasah, dan pusat amal kebajikan di Seremban, Kuala Pilah, dan Nilai sedang disiasat serta dipantau. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Kerajaan Negeri Sembilan mengesyaki terdapat beberapa sekolah persendirian aliran agama di negeri itu tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama dan dikawal oleh sebuah syarikat yang didakwa mengeksploitasikan kanak-kanak serta agama.

Menteri Besar Aminuddin Harun, berkata maklumat itu diperoleh hasil siasatan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) susulan aduan diterima daripada beberapa pihak.

“Sebelum kes ini timbul, JHEAINS dan penguat kuasa menjalankan siasatan terhadap sekolah swasta tidak berdaftar dan mendapati terdapat beberapa sekolah itu disyaki dikawal syarikat itu sendiri.

“Siasatan masih dijalankan. Insya-Allah, kita akan maklumkan tidak lama lagi. Siasatan polis diteruskan dan JHEAINS turut menjalankan siasatan terhadap sekolah di bawah kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Sembilan Ke Para Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat tiga atau empat sekolah, madrasah, dan pusat amal kebajikan di Seremban, Kuala Pilah, dan Nilai sedang disiasat serta dipantau dan semua sekolah aliran agama atau madrasah perlu berdaftar dengan Jabatan Pendidikan negeri serta Majlis Agama Islam Negeri Sembilan supaya kokurikulum dan pengajian mereka dapat dikawal oleh pihak berkaitan.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata 171 individu ditahan selepas polis menyerbu 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak serta agama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.