
Menurut Harian Metro, keterangan semua individu akan diambil bagi membantu siasatan atas dakwaan syarikat itu terbabit kegiatan eksploitasi kanak-kanak, termasuk diajar meliwat.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan semua 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun kini selamat bawah jagaan polis, dengan dibantu agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Buat masa ini, kanak-kanak ini berada di bawah pemantauan kita (polis) untuk disaring pemeriksaan kesihatan mereka, selain membuat dokumentasi.
“Proses ini semestinya mengambil masa lama antara tujuh sehingga 12 hari kerana jumlah mereka yang diselamatkan terlalu ramai dan perlu dilakukan satu persatu mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Jadi, beri kami masa untuk selesaikan proses ini dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil bagi memastikan kanak-kanak ini benar-benar selamat.”
Katanya, proses menemu bual 402 kanak-kanak diselamatkan itu sedang dilaksanakan dan polis akan menyiasat dakwaan serangan seksual, liwat serta menyemak sama ada kanak-kanak itu dihantar ke sekolah atau pusat jagaan berlesen.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan JKM untuk menyediakan khidmat kaunseling dan sokongan emosi kepada kanak-kanak terbabit.
Razarudin dipetik Sinar Harian berkata, 171 individu terdiri penjaga, guru agama serta pengerusi semua rumah kebajikan beroperasi di Hulu Selangor, Klang Utara, Shah Alam, Sepang, Kajang, Petaling Jaya dan Subang Jaya direman tujuh hari.
Menurutnya, semua premis yang diserbu semalam ditutup sementara dan mungkin disita.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Kanun Keseksaan serta undang-undang lain.