
Perunding pengangkutan Rosli Khan menyifatkan pelan perniagaan itu sebagai ‘tidak mampan’ dan berkata ia mungkin dibuat berdasarkan anggaran keuntungan lebih tinggi yang mampu diraih kedua-dua projek berkenaan.
Beliau berkata, projek berkenaan mungkin tidak lagi berdaya maju berikutan keadaan ekonomi semasa.
“Ketidaktentuan ekonomi dalam dunia pascapandemik, seperti inflasi, gangguan rantaian bekalan, dan keadaan pasaran tak menentu boleh membawa kepada limpahan kos untuk projek Bandar Malaysia serta HSR, seterusnya menyukarkan menjana pulangan dijangkakan,” katanya kepada FMT.
Rosli turut memetik peralihan dalam pola pengangkutan susulan pandemik Covid-19, khususnya peningkatan amalan bekerja dari rumah serta pengurangan perjalanan untuk tujuan perniagaan.
“Ini mungkin mengurangkan tuntutan yang dijangka diperlukan untuk perjalanan, seterusnya menjejaskan kebolehlaksanaan kewangan projek HSR itu,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi Geoffrey Williams memberi amaran bahawa kerajaan mungkin terpaksa mencampuri sekiranya mana-mana projek berkenaan gagal mencapai sasaran kewangan atau pembangunannya.
“Ini akan menarik sumber daripada sektor awam penting termasuk kesihatan, pendidikan, dan perlindungan sosial,” katanya dengan menambah ini akan mewujudkan keadaan lebih teruk untuk semua pihak.
Minggu lalu, bekas Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong mencadangkan supaya projek HSR dijajarkan dengan pembangunan Bandar Malaysia bernilai RM140 bilion bagi meningkatkan manfaat dan kebolehlaksanaannya.
Menurut Wee, jika dilaksanakan dengan betul, keuntungan diperoleh dari projek Bandar Malaysia mencukupi untuk meliputi semua atau sebahagian besar pembinaan HSR.
Projek Bandar Malaysia yang pertama kali diumumkan pada 2011, terletak di pangkalan udara Sungai Besi, Kuala Lumpur, dilihat sebagai pembangunan berorientasikan transit penggunaan campuran yang dijangka mengintegrasikan pelbagai rangkaian pengangkutan termasuk HSR.
Bagaimanapun, projek HSR itu ditangguhkan pada 2018 akibat masalah berkait kos sebelum ditamatkan secara rasmi pada 1 Jan 2021.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaannya komited untuk menghidupkan semula projek HSR tertakluk kepada adanya model kewangan berdaya maju melibatkan penyertaan sektor swasta bagi memastikan kebolehlaksanaan dan kemampanan.
Bagaimanapun, Rosli mempertikai desakan melaksanakan projek perumahan mewah dan HSR ini kerana menganggap keperluan penduduk umum patut diberi keutamaan.
Menurutnya, Lembah Klang sudah sedia menghadapi isu kesesakan, banjir dan kos sara hidup yang meningkat.
“Namun kita mahu membina HSR serta lebih banyak perumahan mewah. Pembinaan ini untuk siapa sebenarnya,” katanya.
Williams mempertikai rasional di sebalik menghidupkan semula projek HSR itu.
“Jika HSR boleh dilaksanakan, ia boleh dikendalikan sektor swasta. Namun sebenarnya tidak, dan kerana itulah sektor swasta tidak membiayainya,” katanya.
“Jika Bandar Malaysia terbukti berjaya, kenapa pula mahu melabur wang yang baik ke arah pelaburan tidak elok dalam HSR?”