
Nor Ismail Amran Ghazilah, 42, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret M Kalaiarasi, lapor Sinar Harian.
Mengikut pertuduhan, Nor Ismail didapati menerbitkan penerbitan menghasut melalui TikTok iaitu melalui tulisan “Negeri Kedah curi hasil negeri lain-lain…Sultan Kedah pencuri sebenar ketika itu, saya cabar seluruh istana anak bukit dan mencabar Sultan Kedah’.
Didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 Julai 2024 jam 10 malam, di pekan Sungai Petani dan dituduh di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum bawah Seksyen Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Preeyaa manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Farahdina Che Bakar.
Dalam rayuannya, Nor Ismail merayu mahkamah meringankan hukuman kerana tidak bermaksud untuk menghasut dan tidak menyangka akan dikenakan tindakan kerana telah memadam hantaran berkenaan.
Bagaimanapun, Preeyaa memohon agar hukuman penjara setimpal dikenakan memandangkan kesalahan yang dibuat membabitkan institusi diraja selain pengajaran kepada tertuduh dan orang awam agar lebih berhati-hati menggunakan media sosial.