
Beliau berkata, walaupun kebanyakan parti kerajaan berpandukan Melayu dan Islam, mereka masih gagal mempertahankan perkara melibatkan kesucian agama itu sekali gus menyebabkan pemimpin bukan Islam ‘naik kepala’.
“Betapa kerajaan perpaduan disertai oleh Umno, PKR dan Amanah tidak boleh menguasai keadaan, tidak berwibawa dan tidak mampu menangani rakan (komponen) bukan Islam.
“Sekarang (pemimpin) bukan Islam dalam kerajaan naik kepala dengan begitu rupa, ini pendekatan sangat lemah dan menunjukkan besar lagi kewajipan kita dalam perjuangan ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan khas pada Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau.
Hadi merujuk sikap beberapa pemimpin Melayu-Islam kerajaan perpaduan tidak mempersoalkan kenyataan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mempertikaikan cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mewajibkan sijil halal bagi restoran dan syarikat makanan.
Beliau seterusnya menyeru parti kerajaan perpaduan tidak terus bersekongkol dengan pemimpin bukan Islam yang mempersoalkan isu berkaitan agama rasmi negara.
“Walaupun (parti Melayu dan Islam) duduk dalam kerajaan orang Islam, (pemimpin Islam) dalam kerajaan itu tidak ada keupayaan dan tiada kehebatan sehingga kita lihat Islam tiada kedaulatan, kehebatan (seperti yang) kita saksikan (dalam) isu yang sangat mendukacitakan ini.
“Isu orang bukan Islam berani bercakap tentang Islam dan menyentuh perkara orang Islam, yang terkini dalam isu murtad, halal dan haram,” katanya.
“Padahal ini hak orang Islam, kita ada hak untuk menentukan halal dan haram…penting dalam Islam untuk (jaga) iman dan hubungan dengan Allah, tiada kena-mengena dengan orang bukan Islam.”
Sebelum ini, Kok membidas cadangan Jakim berhubung pensijilan halal kerana menurutnya, ia seharusnya bersifat sukarela supaya pengusaha dapat membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran.
Ahli Parlimen Seputeh berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.