
Perunding kanan ortopedik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Siti Hawa Tahir berkata, Najib diberikan cuti tambahan dua hari, berakhir esok, agar dia dapat pulih.
Siti Hawa juga berkata, Najib mengalami gangguan tidur (sleep apnea) dan preskripsi ubatnya berisiko tinggi. Akibatnya, katanya, Najib tidak mampu menghadiri perbicaraan untuk minggu ini.
Apabila ditanya oleh Hakim Collin Lawrence Sequerah mengenai keadaan mental Najib sekarang, Siti Hawa berkata, Najib masih mengadu mengantuk.
“Apabila kami bercakap dengan (Najib), dia boleh faham,” katanya menambah, keadaan mental Najib perlu dinilai oleh pakar psikiatri.
Hakim kemudian mengumumkan perbicaraan akan disambung semula pada 17 Sept.
Dilaporkan pada Selasa bahawa perbicaraan ditangguhkan kerana Najib dimasukkan ke hospital disebabkan sakit lutut dan diberi cuti sakit dua hari.
Najib didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana berjumlah RM2.28 bilion, didakwa milik 1MDB, yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.