MA63: 11 tuntutan diselesai, kata TPM

MA63: 11 tuntutan diselesai, kata TPM

Fadillah Yusof berkata tujuh tuntutan diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Fadillah Yusof berkata, komitmen Anwar Ibrahim menunjukkan banyak perkara diputuskan dalam tempoh dua tahun. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah berjaya diselesaikan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, tujuh tuntutan diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 [Akta 533] bagi melantik wakil kerajaan Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN.

Fadillah, yang juga pengerusi Jawatankuasa Teknikal MTPMA63, berkata penyelesaian itu turut merangkumi tuntutan berkaitan pentadbiran badan kehakiman di Sabah dan Sarawak, garis panduan khas penyerahan semula tanah dirizabkan bagi maksud persekutuan di Sabah dan Sarawak.

“Komitmen di bawah perdana menteri ke-10 menyaksikan lebih banyak perkara yang dapat diputuskan dalam tempoh dua tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Anwar itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor serta Premier Sarawak Abang Johari Openg.

Hadir sama, ketiga-tiga timbalan ketua menteri Sabah iaitu Jeffrey Kitingan, Dr Joachim Gunsalam, dan Shahelmey Yahya serta timbalan premier Sarawak iaitu Awang Tengah Ali Hasan, Dr Sim Kui Hian, dan Douglas Uggah Embas.

Fadillah juga berkata, tiga lagi tuntutan telah selesaikan semasa Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri iaitu penyerahan kuasa ke atas pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah.

Selain itu, pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan serta pemberian kuasa berkaitan pelesenan dan penangkapan ikan laut dalam kepada Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, penyerahan kuasa kawal selia Gas Petroleum Cecair (LPG) kepada Sarawak pula dilakukan semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin.

Fadillah berkata, Mesyuarat MTPMA63 penting bagi membolehkan kerajaan merencana tindakan susulan yang pragmatik berhubung status tuntutan di bawah MA63 yang belum selesai dilaksanakan.

“Atas komitmen itu juga, kita telah memutuskan untuk menambah baik struktur platform perundingan antara ketiga-tiga peringkat kerajaan dengan memperkukuhkannya melalui pelantikan keahlian baharu dalam platform MTPMA63,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.