Keputusan kajian wajib sijil halal tertakluk pada Majlis Raja-raja, kata TPM

Keputusan kajian wajib sijil halal tertakluk pada Majlis Raja-raja, kata TPM

Zahid Hamidi berkata, hal ini kerana soal hal ehwal agama di negara ini, termasuk isu halal, berada bawah kuasa Majlis Raja-Raja.

Pada 6 Sept, Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata, Jakim sedang mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan di negara ini.
SHANGHAI:
Sebarang keputusan mengenai hasil kajian mewajibkan pensijilan halal bagi semua restoran dan syarikat pengendali makanan tertakluk bawah kuasa Majlis Raja-Raja, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Tegasnya, isu itu tidak wajar dijadikan polemik kerana masih pada peringkat kajian, belum menjadi dasar tetap.

Justeru, katanya, tiada pihak seharusnya berasa tergugat dengan cadangan kajian mengenai kewajiban pensijilan halal itu.

“Lagipun, soal hal ehwal agama ini, termasuk isu halal, adalah bawah kuasa Majlis Raja-Raja, Jika kajian mendapati (perlu) mewajibkan atau tidak mewajibkan, kita serahkan kepada Majlis Raja-Raja. Jika kajian ini dibawa ke Jemaah Menteri, kita berpandukan nasihat Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) supaya perkara ini tidak dijadikan polemik.

“Kita harus hormati situasi semasa. Walaupun saya pengerusi Majlis Halal Malaysia, tentu saya mengambil tindakan yang berhati-hati dalam menentukan dapatan kajian,” katanya kepada media pada hari terakhir lawatan kerja ke China hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata, perdana menteri telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Mohd Na’im Mokhtar membentangkan laporan mengenai isu tersebut dan langkah seterusnya pada mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.

Pada 6 Sept, Mohd Na’im dilaporkan berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sedang mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Isu itu mencetuskan kontroversi apabila Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela agar pengusaha dapat membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Zahid berkata, proses mendapatkan sijil halal memerlukan pemohon memenuhi syarat yang ditetapkan supaya proses permohonan berjalan lancar.

Beliau juga mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menuduh Jakim ‘lambat’ dalam mengeluarkan sijil halal.

“Dulu ambil masa sembilan bulan, kemudian atas persefahaman Majlis Halal Malaysia dan Jakim, tempoh dipendekkan kepada 23 hari bekerja, dan kini dipendekkan lagi kepada 15 hari bekerja dari tarikh permohonan dikemukakan.

“Sekiranya semua syarat dipenuhi, dan sebelum itu, kita juga akan panggil semua bakal pemohon ke suatu majlis libat urus Jakim untuk beritahu tentang syarat yang perlu dipatuhi bagi memudahkan proses kelulusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.