Kenyataan Muhyiddin ‘gambarkan’ Guan Eng salah guna kuasa, mahkamah diberitahu

Kenyataan Muhyiddin ‘gambarkan’ Guan Eng salah guna kuasa, mahkamah diberitahu

Peguam Guok Ngek Seong berkata, tiga kenyataan bekas PM itu antaranya membawa maksud Lim Guan Eng sengaja mensabotaj Yayasan Albukhary.

lim guan eng muhyiddin yassin
Pada 27 Mac tahun lepas, Lim Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau di Facebook.
KUALA LUMPUR:
Kenyataan Muhyiddin Yassin berunsur fitnah dan mencemarkan reputasi Lim Guan Eng apabila menggambarkan bekas menteri kewangan itu menyalahgunakan kuasa dalam isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.

Peguam Guok Ngek Seong berkata, tiga kenyataan Muhyiddin, jika dibaca secara keseluruhan, membawa maksud bahawa anak guamnya ‘anti-Melayu dan anti-Islam’ dengan menyasarkan Yayasan Albukhary.

“Kenyataan itu, jika dibaca secara keseluruhan oleh mana-mana orang yang munasabah, akan menyebabkan kesimpulan bahawa plaintif seorang yang pendendam, bertindak dengan niat jahat dan dengan sengaja mensabotaj serta merosakkan Yayasan Albukhary,” katanya pada prosiding saman fitnah Lim terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain.

Beliau juga berhujah, kenyataan Muhyiddin bahawa Lim ialah individu yang bertanggungjawab membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary merupakan suatu pembohongan atau kenyataan tidak benar.

“Saksi defendan yang kedua, Hazlan Abdul Aziz dengan jelas memberitahu mahkamah, tiada surat yang ditandatangani oleh plaintif semasa beliau menjadi menteri sama ada membatalkan atau tidak mengiktiraf pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary,” katanya.

Peguam Chetan Jethwani yang mewakili Muhyiddin pula berhujah, Lim boleh mengeluarkan tuntutan secara peribadi untuk meminta beliau menarik balik atau meminda kenyataannya.

“Sebaliknya, plaintif memilih memburukkan lagi perkara itu serta membawanya kepada perhatian umum, menjadikan ia sebagai isu awam dan (melibatkan) kepentingan awam,” katanya.

Roz Mawar kemudian menetapkan 8 Nov ini untuk keputusan.

Seramai tiga saksi plaintif dan dua saksi defendan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang berakhir pada 17 Julai lepas.

Pada 27 Mac tahun lepas, Lim memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah di Facebook melibatkan beliau berhubung isu itu pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.

Laporan berhubung isu itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu turut mendakwa, kenyataan tersebut membawa maksud, beliau menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri agar mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.