‘Abang Bas’ didakwa lagi hantar komen jelik di TikTok

‘Abang Bas’ didakwa lagi hantar komen jelik di TikTok

Pemandu bas sekolah berusia 24 tahun itu sebelum ini didakwa atas dua tuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Seorang pemandu bas sekolah yang dikenali di TikTok sebagai ‘Abang Bas’ didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas tuduhan menggunakan aplikasi TikTok untuk menghantar komen jelik dalam videonya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu bas sekolah yang berdepan tuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak didakwa lagi kali ini di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas tuduhan menggunakan aplikasi TikTok untuk menghantar komen jelik dalam videonya.

Tertuduh berusia 24 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun ‘Abang Bas’ yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen ‘hari ini crush buat homework’ diikut tanda ‘love’ sambil memerhatinya.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raja di Batu Pahat pada jam 11 malam, 5 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan seterusnya, denda RM1,000 bagi setiap kesalahan selepas yang disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Umar Zulkarnain.

Dalam prosiding itu Nur Izzati memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Muar memandangkan tertuduh mempunyai dua kes yang sudah dituduh di sana.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Okt ini untuk sebutan semula bersama-sama kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Muar.

Pada Selasa lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Muar atas dua tuduhan amang seksual terhadap kanak-kanak.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki yang juga pemilik akaun ‘Abang Bas’ menggelar seorang penumpang dipercayai murid sekolah rendah sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Pemandu bas sekolah itu yang mempunyai lebih 640,000 pengikut di TikTok, sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.