Wanita cedera diserang memerang ‘ceroboh’ taman rekreasi

Wanita cedera diserang memerang ‘ceroboh’ taman rekreasi

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah berkata siasatan awal mendapati kumpulan memerang itu memasuki pusat rekreasi untuk mencari makanan di kolam.

Seorang wanita cedera diserang sekumpulan memerang di sebuah taman rekreasi di Tanjung Aru, Sabah.
PETALING JAYA:
Seorang wanita cedera diserang sekumpulan memerang di sebuah taman rekreasi di Tanjung Aru, Sabah, pagi tadi.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun, berkata siasatan awal mendapati kumpulan memerang itu memasuki pusat rekreasi terbabit untuk mencari makanan di kolam.

“Memang terdapat populasi memerang liar berhampiran taman dan kami juga melihat berlaku perubahan tingkah laku haiwan tersebut apabila orang awam memberi makan.

“Walaupun memerang secara umumnya tidak agresif, haiwan ini mungkin menjadi agresif jika diprovokasi atau jika makanan yang dijangka tidak diberikan,” katanya menurut Sinar Harian.

Terdahulu, tular sekumpulan memerang menyerang seorang wanita dipercayai sedang beriadah bersama dua rakannya di taman itu dan menyebabkan mangsa cedera dihantar ke hospital.

Roland berkata, JHL Sabah sudah menasihatkan pihak pengurusan taman membaiki pagar kawasan itu bagi mengelakkan pencerobohan memerang dan melaporkan sebarang kelibat memerang selepas pembaikan pagar.

“Kami mencadangkan pihak pengurusan memantau teliti keadaan pagar dan memasang papan tanda untuk mengurangkan interaksi pengunjung dan memerang bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Orang awam juga dinasihatkan tidak memberi makan atau memprovokasi mana-mana hidupan liar bagi mengelakkan interaksi dengan manusia dan mencegah perubahan tingkah laku haiwan yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini.”

Beliau berkata, JHL Sabah sedang mempertimbangkan pemindahan memerang itu walaupun sukar dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.