Mangsa rumah amal diajar meliwat, diliwat penjaga

Mangsa rumah amal diajar meliwat, diliwat penjaga

Polis berkata kenyataan itu diperoleh hasil siasatan terhadap 402 mangsa diselamatkan dalam serbuan rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.

Polis menyerbu rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan pagi tadi. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Mangsa diselamatkan dalam serbuan polis ke atas 20 rumah amal pagi tadi diajar meliwat, diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Perkara itu terbongkar hasil siasatan terhadap 402 mangsa selepas serbuan di Selangor dan Negeri Sembilan dari 6 hingga 11 pagi tadi.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan berusia setahun hingga 17 tahun itu adalah anak-anak ahli sebuah syarikat.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata rumah amal terbabit menggunakan sentimen agama dan kanak-kanak untuk menagih simpati serta sumbangan orang ramai.

Keadaan dalam sebuah rumah amal yang diserbu pihak berkuasa. (Gambar PDRM)

Katanya, siasatan mendapati selain didera secara seksual, ada mangsa dicederakan menggunakan objek panas.

“Ada kanak-kanak berusia lima tahun, seramai tiga hingga empat orang dicederakan dengan sudu panas apabila kesilapan dilakukan.

“Mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal,” katanya dalam sidang media di IPK Pahang.

Antara kanak-kanak yang diselamatkan dalam serbuan. (Gambar PDRM)

Beliau berkata, kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk saringan kesihatan dan dokumentasi dengan proses itu dijangka mengambil masa 14 hari.

Terdahulu, Op Global  dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kimia menyerbu rumah amal terbabit.

Seramai 171 individu membabitkan penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal terbabit ditahan yang terdiri 66 lelaki dan 105 wanita.

Razarudin berkata, siasatan kes setakat ini menjurus kepada kesalahan bawah Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Kanun Keseksaan (574) dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.