PRN: ‘Melaka negeri Bersatu, ‘dominan’ dalam agihan kerusi’, kata ketua PN negeri

PRN: ‘Melaka negeri Bersatu, ‘dominan’ dalam agihan kerusi’, kata ketua PN negeri

Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata pembahagian jumlah kerusi antara parti komponen sudah dipersetujui, namun kawasan akan ditandingi masih belum dibincangkan.

bendera PN perikatan nasional
PN hanya menang dua kerusi daripada 28 DUN ditandingi pada PRN Melaka 2021. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) Melaka hampir memuktamadkan agihan kerusi DUN yang mungkin menyaksikan Bersatu bertanding lebih banyak kawasan pada PRN berbanding sekutunya, PAS walaupun parti itu sudah lama bertapak di negeri berkenaan.

Membayangkan perkara itu, Pengerusinya Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata Melaka sudah dianggap sebagai ‘negeri Bersatu’, sama seperti Johor dan Selangor yang mana parti berkenaan lebih dominan dalam jumlah wakil rakyatnya.

“Seperti di Kedah, Kelantan, Terengganu (dikenali negeri PAS)… di sana pun kita ada ratio pembahagian mana parti yang (dapat) lebih (kerusi) atau tidak.

“Tapi di Melaka, Johor dan sama juga di Selangor… kita dah anggap negeri Bersatu. Jadi Bersatulah kena lebih dominan dalam pembahagian kerusi,” kata ketua Bersatu Melaka yang juga Adun Bemban kepada FMT.

“Kita dah ada persefahaman mengenai itu, cuma nanti kita bincang cara baik dan adik beradik untuk tentukan kedudukan kerusi patut ditandingi komponen masing-masing.”

Pada PRN Melaka November 2021, PN bertanding di semua 28 DUN dengan Bersatu 15 kerusi, PAS (8) dan Gerakan (5), namun hanya menang dua kerusi iaitu Sungai Udang dan Bemban menerusi wakil Bersatu.

Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) berjaya menakluk lima kawasan.

Penggal DUN Melaka dijangka tamat pada November 2026 dan PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubarannya.

Di sebalik prestasi kurang memberangsangkan PAS pada PRN Melaka, parti itu mencatat keputusan baik pada PRU15 apabila menang 2 daripada 6 kerusi Parlimen iaitu Jasin dan Tangga Batu manakala Bersatu menguasai Masjid Tanah.

PH pula menguasai Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka manakala BN mencatat prestasi buruk apabila kalah semua kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.