
Naib Ketuanya Sheikh Umar Bagharib Ali mendakwa kenyataan kurang beradab Akmal seperti ‘Nyonya Tua’ dan ‘tampal logo tak halal’ ditujukan pada Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok membimbangkan pengundi di DUN terbabit menjelang PRK, 28 Sept depan.
Dakwanya, sikap Akmal yang dianggap ‘gengster’ itu bukan hanya tidak disukai pengundi bukan Melayu tetapi masyarakat Melayu, yang dikesan selepas seminggu turun ke kawasan terbabit.
Menurutnya, beliau bimbang pendekatan exco Melaka itu akan memberi kesan negatif pada pola sokongan pengundi DUN Mahkota untuk calon perpaduan dari Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah.
“DUN Mahkota adalah kerusi bercampur di mana demografinya meliputi sekitar 54% Melayu, 35% Cina dan 8% India. Naratif kempen bagi DUN Mahkota mestilah bersifat moderat, sederhana dan meraikan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’, bukan ‘siapa lebih jantan’.
“Bagi saya selaku ketua Pemuda Umno, Akmal tidak boleh lagi dianggap sebagai individu sebaliknya ‘institusi’ Umno…beliau pemuka dan imej hadapan lebih-lebih lagi calon Mahkota adalah anak buahnya sendiri dari ketua pemuda Umno bahagian,” katanya dalam kenyataan.
“Nasihat ikhlas saya, Akmal perlu diuruskan Umno demi kemenangan calon perpaduan di DUN Mahkota, sebarang perkara berbangkit hendaklah diselesaikan secara musyawarah, matang dan bijaksana. Bukan menghambur kecaman tidak sopan secara terbuka.”
Sebelum ini, Akmal membidas Kok dari DAP yang dilaporkan mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan kecuali premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol, hanya menambah beban terhadap peniaga dan memalukan negara.
Sambil menyifatkan Kok sebagai ‘nyonya tua’, katanya, naib pengerusi DAP itu tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.