
Komander Briged Tenggara, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan pada 3.15 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat dan Batalion 9 PGA menerusi Op Taring Chiller.
Katanya, pihaknya sebelum itu melakukan rondaan sebelum mengesan kehadiran sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan terhadap lori jenis Mitsubishi itu mendapati terdapat lebih 5,000 kg karkas babi yang dipercayai diseludup dari negara jiran tanpa dokumen sah.
“Kita turut menahan seorang suspek lelaki berusia 62 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup binatang terbabit ke pasaran tempatan.
“Nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM204,800.00 dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953. Suspek dan barang rampasan diserahkan ke Balai Polis Pengkalan Chepa untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, menurut Berita Harian.
Sementara itu, dalam Op Taring Wawasan pula, Nik Ros Azhan berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan seludup termasuk pokok nenas bunga, barangan kosmetik dan beras dianggarkan bernilai RM50,000.
Katanya, rampasan dilakukan di tiga lokasi berasingan masing-masing dua di Tumpat dan Rantau Panjang.
“Rampasan membabitkan lebih 100 pokok nanas bunga tanpa dokumen membabitkan nilai RM23,000, pelbagai produk kecantikan bernilai RM15,234 dan 300kg beras bernilai RM11,200.
“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.