
Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kejayaan parti hari ini adalah hasil ‘benih ditanam’ sejak berdekad lalu dan bukan mustahil Pahang akan dikuasai pada PRU16.
“Muktamar kali ini kita buat di Kerdau, ia sebagai isyarat bahawa Pahang sedia bersama-sama dengan empat negeri ditadbir PAS untuk kita terajui dan ambil alih pentadbiran pada PRU16.
“PAS menang 43 Parlimen dan 105 DUN, bagaimanapun kita kena fokus kepada gerak kerja untuk cabaran mendatang, kita jangan lena dengan kejayaan itu, kejayaan kita hari ini hasil benih ditanam 10, 20 tahun dahulu,” katanya ketika berucap merasmikan Muktamar Pemuda PAS ke-65 di Dewan Al-Makmur, Kerdau.
Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) menang 17 daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala Barisan Nasional (BN) 17, dan Pakatan Harapan (PH) lapan. Bagaimanapun, BN-PH bergabung untuk meraih majoriti mudah menubuhkan kerajaan negeri.
Tarik sokongan bukan Melayu
Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim meminta sayap Pemuda melakukan anjakan paradigma dengan memberi fokus menarik sokongan bukan Melayu dalam misi menawan Putrajaya.
“Kita harus akui kelemahan kita yang perlu diatasi di kawasan bukan Melayu dan kawasan di selatan tanah air, apatah lagi di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Katanya, ada keperluan bagi PAS Sabah dan Sarawak mendapatkan rakan ‘muafakat politik’, termasuk kemungkinan memberikan autonomi di dua negeri itu merancang strategi bersesuaian politik setempat.
“Mungkin sampai masanya akan kita lihat bagaimana satu kuasa, mungkin autonomi perlu diberi kepada (PAS) Sabah, Sarawak merancang, merencana strategi, dan pendekatan sesuai dengan situasi politik di sana,” katanya.
Beliau juga mahu usaha menarik bukan Melayu di luar kerangka politik termasuk memberikan pendedahan kepada golongan itu mengenai realiti sebenar pentadbiran PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
“Fitnah yang berlaku pada jemaah oleh musuh kita menyebabkan mereka (bukan Islam) merasa takut untuk mendekati kita dan tidak mengenali kita kerana fitnah yang melampau, kita digambarkan parti ekstrem, pelampau, digambarkan ‘gelombang hijau’ membahayakan negara,” katanya.