
Menurut keluarga tersebut, jika terdapat unsur kecuaian dan dera terhadap bayi lelaki itu, mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat jagaan berpantang tersebut.
Bapa bayi itu berkata, anaknya dihantar ke pusat berkenaan selepas dilahirkan dalam keadaan sihat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian pada 11 Ogos lepas.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di pusat jagaan itu, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Namun saya serahkan kepada pihak polis untuk lakukan siasatan secara adil dan saksama,” katanya kepada pemberita di rumahnya dekat Taman Desa Kujid, Kota Bharu, lapor Bernama.
Terdahulu dilaporkan, seorang jururawat direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurut polis, kejadian didapati berlaku kira-kira 5.30 pagi semalam apabila bayi itu tidak sedarkan diri setelah diberikan susu oleh jururawat yang ditugaskan menjaganya.
Mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum disahkan meninggal dunia.