Global Ikhwan sedia kerjasama siasatan eksploitasi kanak-kanak

Global Ikhwan sedia kerjasama siasatan eksploitasi kanak-kanak

Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) menafikan tuduhan mengaitkan mereka dengan eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) nafi terbabit kegiatan melanggar undang-undang.
PETALING JAYA:
Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) sedia memberikan kerjasama berhubung siasatan pihak berkuasa dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.

Syarikat itu dalam kenyataan turut menafikan pembabitan mereka dalam kegiatan melanggar undang-undang yang tular di media sosial.

“Kami tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti melanggar undang-undang khususnya dalam melibatkan kanak-kanak sebagai pekerja.

“Kami bersedia memberikan kerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan isu ini,” katanya sambil menjelaskan tuduhan itu berniat jahat untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap syarikatnya.

Kenyataan itu menyusul selepas serbuan polis ke atas 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan hari ini yang berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun dipercayai mangsa eksploitasi.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata rumah amal terbabit menggunakan sentimen agama dan kanak-kanak untuk menagih simpati serta sumbangan orang ramai.

Mangsa diselamatkan dalam serbuan bermula 6 hingga 11 pagi itu dikatakan diajar meliwat, diliwat penjaga dan dipaksa meliwat penghuni kanak-kanak lain.

Kenyataan itu diperoleh hasil siasatan terhadap mangsa.

Kanak-kanak terbabit kini ditempatkan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk saringan kesihatan dan dokumentasi dengan proses itu dijangka mengambil masa 14 hari.

Terdahulu, Op Global dijalankan Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kimia menyerbu rumah amal terbabit.

Seramai 171 individu membabitkan penjaga, ustaz dan pengerusi rumah amal terbabit ditahan yang terdiri 66 lelaki dan 105 wanita.

Siasatan kes itu setakat ini menjurus kepada kesalahan bawah Akta Kanak-kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Kanun Keseksaan (574) dan undang-undang lain yang berkuat kuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.