Gagal mohon semak, Muhyiddin terus hadapi bicara salah guna kuasa

Gagal mohon semak, Muhyiddin terus hadapi bicara salah guna kuasa

Panel lima hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak keputusan panel terdahulu.

Muhyiddin Yassin didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri pada 2021 dengan berusaha mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu.
PUTRAJAYA:
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin akan terus berdepan perbicaraan atas empat tuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta untuk Bersatu di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ini susulan keputusan panel lima hakim Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan semakannya.

Pada 28 Feb lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan bekas perdana menteri itu daripada semua tuduhan.

Pengerusi panel Hakim Azizah Nawawi ketika menyampaikan keputusan sebulat suara itu berkata, pertikaian Muhyiddin bahawa panel sebelum ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan daripada Mahkamah Tinggi akan menjurus kepada keadaan tidak masuk akal.

“(Jika itu berlaku), Mahkamah Tinggi akan mempunyai bidang kuasa tanpa had apabila tertuduh dibebaskan tanpa perbicaraan,” katanya sambil menambah, keadaan ini akan menyebabkan pihak pendakwaan tiada remedi untuk merayu.

Azizah berkata, Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tidak boleh dibaca secara berasingan.

“Seksyen 50 mesti dibaca bersama peruntukan lain dalam Akta Mahkamah Kehakiman dan Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Panel yang mendengar permohonan itu pada 9 Julai turut dianggotai Hakim Che Ruzima Ghazali, Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Azhahari Kamal Ramli.

Muhyiddin didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai perdana menteri antara 8 Feb dan 20 Ogos 2021 berkait program Jana Wibawa dengan berusaha mendapatkan RM232.5 juta untuk Bersatu.

Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi pada 10 Mac tahun lepas.

Muhyiddin kemudian memfailkan permohonan dengan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuduhan terhadapnya atas alasan tuduhan-tuduhan tersebut cacat.

Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan itu, dengan Hakim Jamil Hussin melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan, keputusan yang kemudian dirayu oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Rayuan.

Pada 28 Feb tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dengan memutuskan, hakim tersilap dalam membuat kesimpulan bahawa tuduhan-tuduhan tersebut cacat.

Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan berkata, tuduhan-tuduhan terhadap Muhyiddin mengandungi semua unsur yang diperlukan untuk membuktikan kesalahan bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Panel Mahkamah Rayuan itu, yang turut dianggotai Hakim Azmi Arifin dan S Komathy, memerintahkan kes itu kembali dibicarakan di Mahkamah Sesyen.

Muhyiddin kemudian memfailkan permohonan semakan dan memohon panel lima hakim mendengar permohonannya untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Susulan keputusan hari ini, pengurusan kes akan diadakan pada 27 Sept di hadapan Azura.

Di luar mahkamah, peguam bela utama Hisyam Teh Poh Teik memberitahu pemberita, Muhyiddin kecewa dengan keputusan hari ini.

“Kami berpendirian bahawa Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman mesti ditafsirkan secara literal kerana wujud ambiguiti,” katanya.

Beliau berkata, pasukan pembelaan akan mengkaji keputusan itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.

Pendakwaan hari ini diketuai oleh Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Timbalan Pendakwa Raya Dusuki Mokhtar, dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Shahruddin Wan Ladin, Ahmad Akram Gharib dan Zander Lim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.