
Terbaharu, Kok mengancam akan menyaman Akmal yang didakwa memfitnahnya dalam suatu video TikTok, yang menyentuh kenyataannya mengenai cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan tertentu mendapatkan pensijilan halal.
Akmal memaklumkan kepada FMT bahawa pihaknya belum terima surat tuntutan daripada Kok.
Dalam surat tuntutan yang dilihat FMT, peguam mewakili Kok, SN Nair, berkata anak guamnya menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal sekiranya beliau gagal memenuhi tuntutan.
Surat itu menyatakan Akmal sengaja membesar-besarkan dan/atau secara berniat jahat memutar belit kenyataan Kok dengan niat untuk memfitnahnya.
Ia mendakwa kenyataan Akmal memberikan gambaran kepada orang ramai bahawa Kok seorang rasis, tidak menghormati Islam, dan tiada pengetahuan tentang sijil halal, serta musuh negara dan tidak setia kepada negara.
Ia juga menyatakan Akmal gagal memadam dan menarik balik kenyataan-kenyataan terhadap Kok, meskipun pemimpin DAP itu sudah menjelaskan pendiriannya mengenai perkara itu.
Justeru, Kok mahu Akmal menarik balik kenyataan-kenyataan yang didakwa memfitnahnya, dan memadam kenyataan-kenyataan itu daripada akaun media sosial pemimpin Umno itu.
Kok juga mahu Akmal memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi komen-komen itu.
Menurut surat itu, peguam diarah untuk memulakan tindakan undang-undang sekiranya Kok tidak terima sebarang jawapan yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari bekerja dari tarikh terima notis.
Sebelum ini, Akmal dilapor berkata tindakan Kok memalukan negara dan lebih elok diam kalau tidak tahu mengenai agama Islam.
Pada Ahad, polis dilapor membuka kertas siasatan mengikut tatacara operasi standard isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R) terhadap Kok, membabitkan isu pensijilan halal.