Warga emas ditemukan tinggal rangka dalam rumah

Warga emas ditemukan tinggal rangka dalam rumah

Rangka lelaki berusia 74 tahun ditemukan anak yang datang mencarinya selepas tidak berhubung kira-kira empat tahun.

garisan polis
Tempoh kematian sebenar warga emas berusia 74 tahun itu tidak dapat dipastikan dan rangkanya diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.
PETALING JAYA:
Seorang pesara ditemukan meninggal dunia dalam keadaan jasadnya sudah tinggal rangka di sebuah pangsapuri di Kepong, Khamis lalu.

Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, berkata rangka lelaki berusia 74 tahun itu ditemukan anak lelakinya yang datang mencarinya.

Katanya, warga emas itu difahamkan tinggal sendirian selepas bercerai dengan isterinya dan kali terakhir berhubung dengan ahli keluarga pada 2020.

Menurutnya, apabila anak mangsa datang mencarinya, didapati pintu rumah berkunci lalu beliau bertindak memecahkan pintu itu.

“Anak mangsa memecahkan pintu rumah berkenaan sebelum menemukan bapanya dalam keadaan hanya tinggal rangka,” katanya dalam kenyataan.

Sukarno berkata, warga emas itu dipercayai menghidap penyakit darah tinggi dan pernah mengalami strok, namun tempoh kematian sebenarnya tidak dapat dipastikan.

Rangka tersebut telah diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan, tambahnya.

Terdahulu, tular mesej di media sosial mengenai penemuan mayat warga emas itu yang dikatakan tidak dilihat sejak empat tahun lalu.

Menurut mesej itu, mangsa pernah memaklumkan kepada rakan dan penduduk setempat yang dia mahu pulang ke kampung sebelum kelibatnya tidak lagi dilihat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.