Terjerat cinta ‘ahli geologi marin’, peguam rugi RM1.75 juta

Terjerat cinta ‘ahli geologi marin’, peguam rugi RM1.75 juta

Wanita berusia 58 tahun terjebak 'love scam' selepas berkenalan dengan lelaki warga asing menerusi WhatsApp.

Peguam wanita terjerat ‘love scam’ selepas berkenalan dengan lelaki warga asing.
TELUK INTAN:
Peguam kerugian RM1.75 juta akibat terpedaya dengan ‘love scam’ atau penipuan cinta selepas berkenalan dengan lelaki warga asing menerusi WhatsApp sejak Julai lalu.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata wanita berusia 58 tahun itu membuat laporan semalam apabila menyedari dirinya ditipu.

“Menurut wanita itu, suspek mendakwa dirinya bekerja sebagai ahli geologi marin dan kononnya wang tunainya hilang akibat dirompak semasa datang ke Malaysia bagi melaksanakan projek pembinaan tangki dasar laut di pesisir pantai di Terengganu.

“Disebabkan ‘masalah’ yang dihadapinya, suspek meminta bantuan mangsa untuk membantunya memasukkan sejumlah wang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi libat urus mengenai jenayah penipuan dan trend jenayah semasa.

Azizi berkata, mangsa membuat pemindahan transaksi wang ke beberapa akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan RM1,757,490.

“Suspek berjanji akan membayar balik wang itu, namun hingga ke hari ini mangsa tidak menerima sebarang bayaran daripada suspek,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam pada itu, Azizi berkata daerah Hilir Perak merekodkan kerugian berjumlah RM2 juta membabitkan penipuan dalam talian sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.