
Ketua Penerangan Rafique Rashid Ali berkata Puad Zarkashi dan Razlan Rafii sepatutnya menyelesaikan masalah parti itu terlebih dahulu termasuk hilang sokongan orang Melayu sejak PRU14.
“Puad dan Razlan seharusnya melihat ke dalam parti mereka sendiri terlebih dahulu sebelum bersungguh-sungguh cuba ‘menggembirakan’ hati Presiden Zahid Hamidi,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Puad dan Razlan dilaporkan FMT berkata Umno tidak akan menerima semula Mukhriz yang dipecat pada 2016 kerana tidak memberi nilai tambah, malah memberi imej buruk.
Sabtu lalu, Mukhriz menegaskan beliau tidak akan kembali ke pangkuan Umno walaupun Zahid tidak lagi mengetuai parti itu.
Pada 24 Jun 2016, Mukhriz bersama Muhyiddin Yassin dipecat daripada Umno atas kesalahan disiplin dengan berkempen di pihak pembangkang sehingga menjejaskan parti.
Rafique turut mendakwa Umno kini seolah-olah kehilangan arah dan integriti termasuk gagal menjawab keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Zahid dalam kesnya.
“Kempen PRU15 mereka dengan slogan ‘No DAP, No Anwar’ hanyalah kata-kata kosong.
“Tiada seorang pun dalam MKT berani menegur presiden mereka walaupun imej parti terus tercalar,” katanya.