Pejabat kerajaan dicadang main lagu Negaraku seminggu sekali

Pejabat kerajaan dicadang main lagu Negaraku seminggu sekali

Cadangan itu antara lima strategi boleh dilakukan dalam usaha penghayatan nilai dan tatakelola penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mencadangkan lagu Negaraku dimainkan seminggu sekali dalam usaha menerapkan patriotisme dalam kalangan penjawat awam. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dicadang memainkan lagu Negaraku seminggu sekali bagi menerapkan patriotisme dalam kalangan penjawat awam.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar, meminta Kementerian Perpaduan Negara memperincikan perkara itu supaya pekeliling mengenai pembudayaan amalan patriotisme penjawat awam dapat dikeluarkan segera.

“Ini boleh dilakukan dengan melaksanakan program dan aktiviti berbentuk patriotik. Lagi kerap (lagu Negaraku dimainkan) lagi bagus,” katanya ketika berucap dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara Tahun 2024.

Beliau berkata, cadangan itu antara lima strategi boleh dilakukan dalam usaha penghayatan nilai dan tatakelola penjawat awam.

Sementara itu, Shamsul berkata berdasarkan pemerhatian sejak hari pertama dilantik sebagai KSN, beliau mendapati terdapat tiga cabaran utama yang begitu menebal dalam sektor awam.

Katanya, cabaran pertama adalah mentaliti ‘silo’ dan birokrasi yang masih kuat ‘mengakar dan berumbi’ dalam sesetengah agensi.

“Puncanya sebab ada perasaan ‘superior’ atau rasa diri berkuasa dan lebih hebat daripada orang lain. Kononnya kuasa mutlak milik agensi itu,” katanya.

Cabaran kedua pula penyampaian perkhidmatan yang masih menggunakan kaedah lama, kurang berkesan, dan tidak berdaya saing.

Dapatan ini selari laporan Biro Pengaduan Awam yang menyatakan kebanyakan aduan yang diterima tahun ini berkenaan kegagalan memenuhi harapan pelanggan.

Turut diterima aduan tentang kemudahan dan prasarana awam, serta penguatkuasaan yang lemah, tambahnya.

Shamsul mengingatkan bahawa bagi sektor swasta dan pelanggan, setiap masa melibatkan kos.

“Setiap masa yang kita lewatkan sama ada sengaja atau tidak, adalah beban kos yang perlu ditanggung oleh mereka,” tegasnya.

Manakala cabaran ketiga pula katanya mengenai integriti penjawat awam.

Shamsul menyorot perhatian kepada statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang melaporkan 408 tangkapan melibatkan penjawat awam, sehingga Ogos tahun ini.

“Jumlah ini adalah meningkat berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, iaitu 318 tangkapan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.