Najib masuk hospital kerana sakit lutut, bicara 1MDB tangguh

Najib masuk hospital kerana sakit lutut, bicara 1MDB tangguh

Mahkamah Tinggi diberitahu, ubat yang diambil bekas PM itu menyebabkannya mengantuk.

najib
Bekas PM Najib Razak sedang dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana RM2.28 bilion didakwa milik 1MDB. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perbicaraan 1MDB Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini dan esok ditangguhkan kerana bekas perdana menteri itu dimasukkan ke hospital disebabkan sakit lutut.

Perunding kanan ortopedik Hospital Kuala Lumpur Dr Siti Hawa Tahir memberitahu mahkamah, Najib diberikan cuti sakit dua hari agar sakit di lutut kanannya dapat dirawat.

Katanya, Najib diberikan ubat tahan sakit ‘kuat’ yang menyebabkannya mengantuk.

Apabila ditanya oleh hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah sama ada Najib boleh hadir ke mahkamah menggunakan kerusi roda, Siti Hawa berkata, keadaan mentalnya tidak optimum.

“Kami mulakannya (ubat) malam tadi dan saya tidak boleh komen berapa lama tindak balas (Najib) terhadap rawatan ini,” katanya.

Sequerah kemudian berkata, Siti Hawa mungkin perlu memaklumkan mahkamah sekali lagi mengenai keadaan Najib pada Khamis, jika keadaan itu berterusan.

Najib didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung dana RM2.28 bilion didakwa milik 1MDB yang dimasukkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.