
Berucap pada Majlis Aspirasi Kepimpinan KSN, Shamsul Azri Abu Bakar berkata beliau amat menekankan keseronokan dalam bekerja, kerana suasana bekerja yang kondusif dan menyeronokkan antara faktor yang menyumbang kepada keberhasilan kerja yang cemerlang.
“Walaupun perkara ini nampak mudah, namun jika tidak diurus dan disusuli dengan baik pasti akan menjejaskan hubungan dengan rakan sekerja yang lain,” katanya.
Arahan pekeliling itu merupakan strategi keempat melalui Bidang Keberhasilan Reformasi (BKR) Pembangunan Organisasi di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, iaitu membudayakan keseronokan bekerja dalam organisasi.
Tiga strategi lain di bawah BKR Pembangunan Organisasi ialah melaksanakan rasionalisasi dan penstrukturan semula agensi; menyemak semula peraturan dan keistimewaan tertentu; serta mengoptimumkan sumber.
Mengulas mengenai mengoptimumkan sumber, Shamsul berkata sumber-sumber sedia ada, baik dari segi sumber manusia, kewangan, dan prasarana perlu diguna secara optimum agar lebih berdaya saing dan menepati sasaran kos yang efisien.
“Selaras dengan itu, saya minta supaya audit perjawatan dan juga pengisian jawatan kritikal dilaksanakan oleh JPA. Perkara ini penting dalam membantu mengoptimumkan sumber perjawatan dan saraan selain turut menjimatkan kos kepada kerajaan,” katanya.
Selain itu, Shamsul mengarahkan agar Panduan Layanan Perkhidmatan Pelanggan yang diterbitkan JPA ditambah baik, dengan memasukkan elemen perkhidmatan dalam talian dan elemen pematuhan.
Panduan itu seterusnya akan dimasukkan dalam PKPA untuk dilaksanakan oleh kementerian dan agensi lain.
Penambahbaikan itu susulan aduan daripada seorang warga Jepun berhubung isu perkhidmatan dalam sistem janji temu dalam talian Jabatan Imigresen, serta layanan kurang mesra oleh petugas agensi itu.
Shamsul berkata ia salah satu strategi melalui BKR Pembangunan Organisasi di bawah Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, iaitu untuk memantapkan pengurusan perhubungan pelanggan.
“Perkhidmatan kaunter perlu ditransformasikan agar menjadi lebih tangkas, profesional, dan mesra,” katanya.