Didakwa tuntut ‘OT’ palsu RM146,000; pegawai perubatan, 4 jururawat ditahan

Didakwa tuntut ‘OT’ palsu RM146,000; pegawai perubatan, 4 jururawat ditahan

Mereka disyaki melakukan perkara itu pada 2020 hingga 2021.

Pegawai perubatan dan jururawat terbabit ditahan SPRM Sabah ketika hadir memberi keterangan pagi tadi. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai perubatan dan empat jururawat di Sabah ditahan dipercayai kemuka dokumen mengandungi butir palsu berhubung kerja lebih masa kira-kira RM146,000.

Memetik sumber, mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah ketika hadir memberi keterangan pada 9.40 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati semua suspek terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung kerja lebih masa dari 2020 hingga 2021 sedangkan perkara tersebut tidak dilaksanakan,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy, mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, selepas keterangan semua suspek diambil mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh pada 12 Sept di Mahkamah Sesyen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.