
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya untuk menahan suspek selama tujuh hari hingga 16 Sept.
Tangkapan itu hasil Op Pump SPRM dilaksanakan sekitar Kuala Lumpur pada 1.30 tengah hari semalam.
Menurut sumber, suspek bersama beberapa ejen sindiket dipercayai merasuah penguat kuasa antara RM200 hingga RM25,000 bagi memudahkan warga asing melepasi pemeriksaan di pintu masuk negara tanpa mengikut prosedur sah bawah Akta Imigresen 1956/63.
“Wang rasuah tersebut digunakan sebagai balasan untuk melindungi serta memudahkan urusan warga asing yang tidak memenuhi syarat atau gagal mematuhi prosedur sah untuk memasuki negara ini,” katanya.
Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Zainul Darus, mengesahkan penahanan suspek dan memaklumkan kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
Bulan lalu, SPRM membongkarkan satu sindiket yang menguruskan kemasukan kumpulan warga asing dengan membayar wang rasuah kepada penguat kuasa menerusi modus operandi ‘counter setting’ atau ‘kaunter khas’ di KLIA.
Sindiket itu dipercayai bersekongkol dengan penguat kuasa di pintu masuk udara negara yang menerima rasuah antara RM500 hingga RM2,500.
Menerusi laluan ‘kaunter khas’ diatur itu, kumpulan warga asing menggunakan khidmat sindiket berkenaan akan masuk dengan mudah tanpa perlu melalui pemeriksaan mengikut prosedur ditetapkan.