
PUTRAJAYA: Bekas ketua setiausaha Perbendaharaan (KSP) Asri Hamidon akan mengetuai Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan berkuat kuasa hari ini.
Perkara itu diumumkan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar ketika mengemukakan tiga strategi sebagai langkah reformasi awal.
Strategi pertama adalah rasionalisasi badan berkanun persekutuan, katanya, dan bagi tujuan itu kerajaan bersetuju mewujudkan jawatankuasa yang diketuai Asri.
“Rasionalisasi yang melibatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Kerajaan (GIC) dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) akan diteruskan oleh pasukan pantau Madani di Kementerian Kewangan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Ketua Setiausaha Negara 2024.
Strategi seterusnya memperkukuh kerjasama strategik antara perkhidmatan awam dan swasta, dengan mendokong Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) yang diterajui Kementerian Kewangan; dan Pelaksanaan Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta (PIKAS 2030).
Pada 3 Sept lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan bagi menangani pertindihan fungsi dan keterlanjuran dana negara dalam badan berkanun serta GLC.
Anwar berkata, sekretariat itu akan terus bertindak serta-merta sebagai usaha kerajaan melakukan reformasi perkhidmatan awam.
Asri dilantik sebagai KSP pada April 2020. Pada Feb 2023, kerajaan mengumumkan pelantikan Johan Mahmood Merican sebagai KSP baharu.