Anwar ucap takziah kepada keluarga Raja Petra

Anwar ucap takziah kepada keluarga Raja Petra

Perdana menteri berkata, beliau turut berduka atas pemergian penulis blog terkemuka itu.

anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim antara tokoh politik negara yang mengucapkan takziah atas pemergian penulis blog Raja Petra Kamarudin pada malam Isnin di UK.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh politik lain menzahirkan penghormatan terakhir kepada penulis blog Raja Petra Kamarudin, 74, susulan kematiannya pada malam Isnin di Manchester, United Kingdom.

Menerusi catatan ringkas di Facebook, Anwar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Raja Petra.

“Takziah kepada keluarga blogger Raja Petra Kamarudin yang dilaporkan dijemput Ilahi malam tadi di Manchester, UK,” katanya.

“Saya turut berduka dan mendoakan agar rohnya diberi keampunan oleh Allah SWT dan keluarganya diberi ketabahan serta tahap kecekalan yang tinggi.”

Bekas veteran DAP Ronnie Liu berkata, Raja Petra, yang juga salah seorang pengasas bersama Bersih, memainkan peranan penting dalam merancang perhimpunan pertama kumpulan itu pada 2007.

“Beliau seorang penulis dan pemidato yang baik, (juga) pencerita yang baik dan mampu berfikir di luar kotak,” katanya dalam catatan di Facebook.

Liu turut mengimbau penglibatan awal Raja Petra dalam kempen Bebas Anwar, yang menurutnya tidak diketahui ramai.

“(Raja Petra) lebih suka bekerja di belakang tabir,” katanya.

Kempen tersebut adalah sebahagian daripada gerakan politik yang lebih luas menyokong pembebasan Anwar dari penjara pada akhir 1990an dan awal 2000an.

Kempen itu muncul berikutan penahanan Anwar pada 1998, selepas beliau dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri oleh perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad.

Ketika itu, Anwar berdepan tuduhan rasuah dan liwat, yang dilihat ramai termasuk penyokongnya sebagai bermotifkan politik.

Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, sumbangan Raja Petra sebagai penulis dan penganalisis meninggalkan impak yang besar terhadap sejarah politik negara.

“Marilah kita berdoa agar Allah mengampuni dan merahmati roh beliau dan tempatkan beliau bersama orang-orang beriman di Syurga-Nya,” kata Ahli Parlimen Machang itu juga di Facebook.

Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan Ghulam Muzaffar Gulam Mustakim yang juga mengucapkan takziah berkata, berita kematian Raja Petra ‘agak mengejutkan’.

Katanya, antara kata-kata Raja Petra yang masih segar dalam ingatannya adalah, “Melontar pandangan atau pendapat tiada salah atau betul, ia hanya mencetus pemikiran untuk perkara atau mengambil tindakan sama ada ianya salah atau betul”.

“Rehat puas-puas ‘Uncle’. Salam takziah dari kami Umno Bahagian Batu,” katanya.

Terdahulu, isteri Raja Petra, Marina Lee Abdullah berkata, beliau meninggal dunia akibat jangkitan dalam darahnya yang merebak ke paru-paru dan seterusnya ke hati.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.