35 warga asing cuba keluar secara haram ditahan

35 warga asing cuba keluar secara haram ditahan

Tekong dan warga asing terbabit ditahan untuk siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran dan Akta Imigresen.

Bot ronda APMM menahan sebuah bot nelayan membawa 34 penumpang tanpa dokumen pengenalan diri yang sah tengah malam tadi. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menahan 35 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia dipercayai cuba keluar secara haram pada 12.12 tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Selangor Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata penahanan warga asing berusia 18 hingga 50 tahun itu dilakukan selepas Pusat Operasi Maritim Selangor menerima maklumat tentang sebuah bot nelayan asing sedang bergerak keluar dari perairan Sekinchan dalam keadaan mencurigakan.

Muhaimin berkata bot ronda digerakkan ke lokasi untuk mengesan bot berkenaan.

“Setiba di lokasi, pasukan operasi mendapati terdapat sebuah bot nelayan Indonesia tanpa nombor pendaftaran sedang bergerak dalam keadaan gelap lantas menahannya setelah 10 minit diekori.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot terbabit dikendalikan oleh tekong warga Indonesia berumur 35 tahun dan terdapat 30 penumpang lelaki serta empat penumpang wanita sedang duduk berhimpit di bawah dek bot tersebut tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan.

Semua pendatang asing termasuk bot tersebut dibawa ke jeti Polis Marin Pulau Indah untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran dan Akta Imigresen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.