
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata lelaki terbabit masing-masing berusia 23 hingga 28 tahun ditahan di sebuah kawasan pangsapuri kira-kira 11 malam semalam.
Katanya, suspek didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek bebas pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek direman hingga 16 Sept untuk membantu siasatan bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.
Raub meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi IPD Johor Bahru Selatan di talian 07 2182323.
Semalam, Sekolah Kebangsaan Kampung Maju Jaya diarahkan tutup selepas 21 muridnya mengalami gejala ringan, termasuk loya, akibat terdedah pencemaran bau di kampung itu.
Sekolah lain terjejas di kawasan Kampung Maju Jaya termasuk Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah, dengan muridnya terpaksa meneruskan pembelajaran menerusi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Di Kota Tinggi pula, seramai 38 penduduk dari Kampung Orang Asli Pasir Intan berpindah ke Balai Raya Orang Asli Kampung Sayong Pinang semalam susulan pencemaran bahan kimia sejak Khamis lalu.
Penduduk terdiri daripada 10 keluarga itu dipindahkan selepas dilaporkan mengalami sakit tekak, loya, pening kepala, pedih mata, muntah, sesak nafas dan demam.
Rabu lalu, Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor Mohd Rashdan Topa dilaporkan berkata, pihaknya mengesan gas ammonia dengan bacaan kepekatan tinggi menerusi pemantauan kualiti udara dilakukan di Sungai Pandan, Kampung Melayu Pandan, di Johor Bahru pada Selasa.