‘Underdog’ tapi PN takkan mengaku kalah di Mahkota, kata Wan Fayhsal

‘Underdog’ tapi PN takkan mengaku kalah di Mahkota, kata Wan Fayhsal

Perikatan Nasional tidak akan mengaku kalah walaupun bakal berdepan laluan sukar di PRK Mahkota 28 Sept ini.

bendera PN perikatan nasional
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata Perikatan Nasional berdepan saingan kuat gabungan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui partinya ‘underdog’ di PRK DUN Mahkota berdasarkan keputusan PRN Johor lalu.

Namun, katanya Perikatan Nasional (PN) tidak akan mengaku kalah sebaliknya tetap bertanding pilihan raya 28 Sept ini walaupun bakal berdepan laluan sukar.

“Memanglah atas kertas kita tahu Mahkota bukan kerusi mudah. Sepanjang PRN sebelum ini dan PRU, PN berdepan saingan kuat dengan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Memang kita masuk ke Mahkota dalam keadaan ‘underdog’, tapi tak bermakna kita akan mengaku kalah, kita akan lawan, akan buat yang terbaik,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Machang berkata, PRK Mahkota amat penting bagi menunjukkan sama ada pengundi Melayu Johor selesa dengan kehadiran DAP dalam kerajaan.

“Kita harap pengundi Mahkota buat keputusan bijak. Undi di Mahkota bukan sekadar memilih Adun tapi satu isyarat kita nak hantar kepada kerajaan pusat sama ada orang Melayu Johor boleh bersama DAP, jadi kita tunggulah kempen bermula nanti,” katanya.

Semalam, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa membayangkan PN bakal berdepan laluan sukar di PRK itu dan menjangkakan BN menang besar dengan majoriti lebih 20,000 undi.

Annuar berkata, perkiraan itu berdasarkan keputusan PRN Johor 2022 yang menyaksikan gabungan undi antara BN dan PH sekitar 28,000 undi, sedangkan PN ketika itu peroleh sekitar 7,000 undi.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kluang Syed Hussien Syed Abdullah pada PRK itu.

Kerusi itu sebelum ini disandang Ketua Wanita Umno Kluang Sharifah Azizah Syed Zain, yang memenanginya ketika PRN Johor dengan majoriti 5,166 undi.

Beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun, 2 Ogos lalu akibat pendarahan dalaman.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 14 Sept manakala pengundian awal 24 Sept.

DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih dengan Melayu (56%), Cina (34%), India (8%), dan lain-lain (2%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.