Tohmahan Siti Bainun terhadap hakim tak berasas, kata mahkamah

Tohmahan Siti Bainun terhadap hakim tak berasas, kata mahkamah

Hakim berkata pihak pendakwaan kemuka saksi yang lihat kejadian serta saksi perubatan dan pakar.

Mahkamah Tinggi kekalkan sabitan dan hukuman penjara terhadap Siti Bainun Ahd Razali selepas menolak rayuan untuk ketepi sabitan dan hukuman. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menyifatkan tohmahan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, terhadap hakim Mahkamah Sesyen yang mendengar perbicaraan kes pengabaian dan penganiayaan seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, sebagai tidak berasas.

Hakim Noorin Badaruddin berkata pihak pendakwaan mengemukakan saksi-saksi mata yang melihat kejadian serta saksi-saksi perubatan dan pakar yang menyokong kejadian pengabaian serta penganiayaan terhadap saksi pendakwaan ke-18 (Bella).

“Di peringkat ini, mahkamah ini mendapati terdapat tohmahan-tohmahan yang tidak berasas dibuat oleh pihak perayu (Siti Bainun) yang ditujukan kepada hakim Mahkamah Sesyen (HMS) dalam hujahan bertulis pihak perayu.

“Pihak pendakwaan menarik perhatian mahkamah ini mengenai hujahan pembelaan yang mengatakan HMS menokok tambah fakta, menyembunyikan keterangan dengan meringkaskan nota prosiding, berat sebelah dengan cara memilih yang dikehendaki sahaja (pick and choose) keterangan dikemukakan oleh saksi-saksi, sedangkan pihak perayu tidak pernah membuat permohonan untuk membandingkan nota prosiding,” katanya.

Noorin berkata demikian dalam alasan penghakiman bertarikh 6 Sept lepas yang diperoleh pihak media hari ini.

Beliau berkata mahkamah memandang serius dakwaan-dakwaan tidak berasas tanpa bukti terhadap seorang hakim dan selepas meneliti nota keterangan serta prosiding di Mahkamah Sesyen, pihaknya mendapati HMS membuat dapatan dan penemuannya berlandaskan fakta dan keterangan yang terus dan sokongan.

“Tidak ada keadaan dan asas yang ditunjukkan oleh pihak perayu yang mewajarkan dakwaan-dakwaan terhadap HMS yang membuat keputusan menurut undang-undang di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak,” kata Noorin.

Hakim berkata Mahkamah Tinggi berpuas hati bahawa HMS tidak terkhilaf apabila mendapati elemen ketiga pertuduhan (bahawa mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi semasa berada dalam pemeliharaan perayu) dipenuhi oleh pihak pendakwaan.

Beliau berkata setelah meneliti keterangan saksi pendakwaan kelima (Yasmin Nahar Mahmood) dan saksi pendakwaan kelapan (Suhana Zam) yang dipertikaikan pihak pembelaan, pihaknya mendapati adalah sukar untuk membuat dapatan bahawa kedua-dua saksi ini mereka-reka cerita terhadap perayu.

Menurut Noorin lagi, keterangan kedua-dua saksi berkenaan (Yasmin dan Suhana) disokong oleh keterangan perubatan yang merupakan keterangan bebas yang secara konsisten mendapati kecederaan dialami mangsa bukan satu kemalangan.

“Perayu melakukan pengabaian dan penganiayaan ke atas SP18 (Bella) sehingga menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi kepada SP18.

“Mahkamah ini mendapati bahawa tidak terdapat keterangan atau keadaan yang membolehkan apa-apa dapatan dibuat bagi menunjukkan SP5 dan SP8 mempunyai motif untuk mengenakan atau menganiaya perayu melainkan mereka sendiri telah menyaksikan kecederaan yang dialami oleh SP18 yang menurut SP5 adalah dilakukan atas arahan perayu,” kata hakim itu.

Pada 2 Mei lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Bainun selepas menolak rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2023.

Pada 3 Mei 2023, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Bainun selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13, dan memerintahkan wanita itu menjalani hukuman penjara serta-merta, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman. Bainun kemudian dihantar ke Penjara Kajang.

Mahkamah turut memerintahkannya menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000 serta melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa sehingga mengakibatkan remaja perempuan sindrom Down itu mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak yang boleh membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.