Kerajaan pinda Akta Pemegang Amanah elak dana diseleweng

Kerajaan pinda Akta Pemegang Amanah elak dana diseleweng

Pindaan terhadap akta itu antaranya merangkumi tafsiran berhubung pemunya benefisial iaitu mereka yang mendapat manfaat daripada badan amanah.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini. (Gambar PMO)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersetuju meminda Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258) dan Akta Pemegang Amanah 1949 (Akta 208) bagi mengelakkan penyelewengan dana oleh badan pemegang amanah melibatkan tujuan keagamaan, sosial dan kebajikan.

Pejabat Perdana Menteri berkata, pindaan terhadap Akta 208 antaranya merangkumi tafsiran berhubung pemunya benefisial iaitu mereka yang mendapat manfaat daripada badan amanah.

Manakala pindaan terhadap Akta 258 antara lain melibatkan penetapan peraturan berkaitan pendedahan maklumat, konflik kepentingan dan sumber dana serta memberi kuasa bagi meningkatkan pemantauan, pengesahan dan pemeriksaan laporan serta penyeliaan dana.

“Isu ini bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi turut merosakkan kredibiliti tatakelola awam dan integriti institusi kerajaan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, pindaan dibuat selaras usaha kerajaan untuk memperkukuh tatakelola, integriti, dan membanteras rasuah, khususnya dengan memberi perhatian serius terhadap isu melibatkan profesionalisme agensi penguat kuasa yang memberi persepsi negatif terhadap orang awam.

“Di samping isu rasuah yang melibatkan perolehan kerajaan serta penyalahgunaan dana awam, terutamanya melibatkan entiti yang menerima dana daripada kerajaan,” katanya.

Mesyuarat antara lain turut bersetuju dengan cadangan menggalakkan semua syarikat gred G7 yang mempunyai Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK) mendapatkan pensijilan MS ISO 37001 AntiBribery Management System (ABMS).

Syarikat yang mempunyai sijil itu akan diberi keutamaan dalam perolehan kerajaan bagi perolehan kerja bernilai RM100 juta ke atas bagi tempoh dua tahun pertama.

“Kerajaan sekali lagi menegaskan iltizam untuk memperkasa tatakelola dan integriti serta menyokong penuh agenda pembanterasan rasuah nasional.

“Setiap usaha diambil akan memastikan tatakelola dan integriti sektor awam terus diperkukuh demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.