Tayang gambar kanak-kanak di media sosial mudarat mental, kata NGO

Tayang gambar kanak-kanak di media sosial mudarat mental, kata NGO

Protect and Save the Children menyeru orang ramai agar bersuara menentang tingkah laku yang tidak wajar terhadap kanak-kanak.

pemandu bas
Seorang pemandu bas sekolah menimbulkan kontroversi baru-baru ini dengan video-video menunjukkan tingkah lakunya yang tidak wajar terhadap kanak-kanak yang menjadi penumpangnya.
PETALING JAYA:
Tindakan menggunakan imej kanak-kanak di media sosial tanpa kebenaran mencabuli privasi mereka dan boleh menyebabkan kemudaratan psikologi jangka panjang, kata kumpulan advokasi hak kanak-kanak.

Menurut Protect and Save the Children, perkongsian gambar dan video kanak-kanak tanpa persetujuan bukan sahaja memberi kesan kepada persepsi diri mereka, tetapi juga mengajar bahawa mereka tidak mempunyai kawalan ke atas imej dan naratif mereka sendiri.

Kumpulan itu berkata, kanak-kanak mempunyai hak privasi dan perlindungan daripada campur tangan sewenang-wenangnya ke atas kehidupan peribadi mereka, seperti yang ditetapkan oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Kanak-kanak.

Menurutnya, konvensyen itu juga menggesa agar maruah kanak-kanak dipertahankan, dan kumpulan itu menyeru orang ramai agar bersuara menentang tingkah laku yang tidak wajar terhadap kanak-kanak.

Kanak-kanak juga harus faham bahawa mereka tidak seharusnya dimalukan atau dihukum kerana berkata ‘tidak’ kepada orang dewasa, kata kumpulan itu.

NGO itu membuat kenyataan sedemikian susulan kontroversi mengenai seorang pemandu bas sekolah yang menyiarkan imej dan video kanak-kanak di akaun media sosialnya.

Lelaki berusia 24 tahun itu, yang telah ditahan, sebelum ini banyak memuat naik video di akaun TikTok menunjukkan dengan jelas wajah murid sekolah yang menjadi penumpangnya.

Antara video yang dimuat naiknya turut menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan yang menurutnya ‘diminatinya’, serta tingkah lakunya yang tidak wajar terhadap seorang kanak-kanak yang tertidur di dalam bas.

Video-videonya setakat ini mengumpul lebih 10 juta ‘like’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.