Tak payah cetus kontroversi, PM tegur Kok

Tak payah cetus kontroversi, PM tegur Kok

Anwar Ibrahim ulas kenyataan Teresa Kok kritik cadangan kajian wajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim nasihat mana-mana pemimpin politik salur cadangan dan kebimbangan dalam mesyuarat untuk diteliti secara menyeluruh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kenyataan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dalam isu pensijilan halal bukan pendirian Pakatan Harapan (PH).

Katanya, kenyataan naib pengerusi DAP itu antara lain mencetuskan kontroversi tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Anwar, yang juga pengerusi PH juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

“Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita.

“Ada masalah…peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun, kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok,” katanya menurut Berita Harian ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan), di Seremban.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal, namun ia mengecualikan premis menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Susulan itu, Kok berkata cadangan itu dilihat menghalang kebebasan pilihan pengguna serta bertentangan semangat kepelbagaian budaya dalam negara, malah mungkin memalukan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Katanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Apa diperkatakan Kok kemudian mendapat kecaman Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, dan mendesak permohonan maaf kepada umat Islam.

Semalam, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Norsyahrin Hamidon, berkata di peringkat antarabangsa Malaysia sudah dikenali sebagai peneraju industri halal, dan langkah itu akan memperkukuh kedudukan negara selaku hab halal global yang diiktiraf.

Katanya, pandangan bahawa cadangan dikemuka Kok akan menjadikan Malaysia bahan ejekan tidak berasas dan bertentangan realiti perkembangan pasaran halal dunia yang bernilai trilion dolar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.