10 termasuk penjawat awam disyaki dalang ditahan, RM2 juta dadah dirampas

10 termasuk penjawat awam disyaki dalang ditahan, RM2 juta dadah dirampas

Polis berkata, sindiket itu akan mendapatkan bekalan dalam kuantiti besar sebelum dijual kepada pengguna di pasaran tempatan.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata seorang lelaki 38 tahun dipercayai dalang aktiviti pengedaran dadah itu ditahan dalam serbuan di sebuah kuarters kerajaan di Kajang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sepuluh suspek termasuk seorang penjawat awam disyaki dalang pengedaran dadah ditahan dan lebih RM2 juta dadah dirampas dalam dua operasi.

Semua suspek berusia 27 hingga 52 tahun itu ditahan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman mulai 5 Sept lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Khaw Kok Chin, berkata Op Telomian dilaksanakan sekitar Taman Bukit Cheras, Desa Tun Razak, Kuala Lumpur dan Kajang di Selangor.

Menurutnya, tiga lelaki dan dua wanita disyaki ahli sindiket pengedaran dadah ditahan dalam serbuan berasingan di rumah serta kereta Perodua Myvi, dengan syabu, ganja dan pil erimin 5 dianggarkan seberat 50.33kg dirampas.

“Ekoran semua tangkapan itu, serbuan ke atas sebuah kuarters kerajaan di Kajang dan menahan seorang lelaki 38 tahun dipercayai mendalangi aktiviti pengedaran dadah berkenaan,” katanya menurut Harian Metro.

Khaw berkata, tiga lagi lelaki dan seorang wanita disyaki terbabit sindiket pengedaran dadah turut ditahan dalam empat siri serbuan menerusi Op Tosa di Taman Perdana; Kota Puteri, Masai dan Kempas Indah, Johor Bahru.

Katanya, pemeriksaan ke atas sebuah motosikal, kereta Honda City dan dua rumah menemui 5.606kg syabu, heroin, pil yaba serta 499 pil erimin 5.

“Hasil semua serbuan itu, dadah dirampas dianggarkan bernilai RM2 juta. Polis turut menyita tiga kereta, wang tunai RM68,046 dan lima barang kemas yang keseluruhan sitaan dianggarkan bernilai RM151,416,” katanya sambil menambah dadah dirampas itu boleh digunakan kira-kira 30,000 penagih.

Beliau berkata, sindiket itu akan mendapatkan bekalan dalam kuantiti besar sebelum dijual secara kecil-kecilan kepada pengguna di pasaran tempatan.

Menurutnya, empat daripada 10 suspek ditahan itu positif methamphetamine, manakala tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.